Kesemua lensa tersebut diproses dengan kepakaran dan daya kreativiti manusia bermula dari reka bentuk hinggalah pemasangan setiap bahagian dalam sesebuah lensa Nikkor.
Setiap lensa yang siap direkabentuk, akan melalui beberapa proses presisi dan ketepatan iaitu pemilihan bahan asas yang bermutu untuk membuat kaca kanta (raw material), pemotongan kaca kanta (lapping), pengisaran (grinding), penggilapan (polishing) dan penyalutan (coated).
Selepas melalui proses di atas, kesemua kaca yang telah siap dalam pelbagai saiz dibawa ke bahagian pemasangan mengikut kategori lensa yang hendak disiapkan misalnya lensa 24mm-70mm, lensa 35mm, 300mm, 500mm, 200mm-400mm, 800mm dan sebagainya.
Nikon yang mengeluarkan lensa sejak 1933 telah mendirikan kilang yang beroperasi secara komersial pada 1961 di Tochigi dan memberikan peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk setempat.
Hampir 400 pekerja mendapat peluang pekerjaan di situ, namun setiap petugasnya mempunyai kemahiran dan kepakaran tertentu dalam pembuatan lensa Nikkor.
Kanta yang benar-benar bermutu akan dimasukkan ke dalam setiap lensa dengan menggunakan kemahiran tangan pekerja di mana mereka akan menyiapkan sesebuah lensa dalam masa sejam pada tahap piawaian yang telah ditetapkan.
Menurut Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Korporat Tochigi Nikon Corporation, Hironori Takahashi, dengan kepakaran serta ketelitian para pekerja, sesebuah lensa tahap tertinggi (high end) untuk kegunaan jurufoto profesional akan dihasilkan dengan lebih bermutu dan berkualiti.
''Ketelitian pakar-pakar kami dalam penghasilan lensa tahap tertinggi tidak boleh diragukan kerana semua lensa yang dipasang di kilang ini telah melalui semua proses di atas dan diuji dari pelbagai sudut teknikal serta mekanikal sebelum ianya dipasarkan ke seluruh dunia," jelasnya.
Tambahnya, sebab itulah Nikon terus berpegang kepada falsafahnya - Kebolehpercayaan dan Kreativiti (Trustworthiness and Creativity) yang menjadi tunggak kejayaan syarikat tersebut dalam industri penghasilan produk kamera dunia.
Megabait@Utusan
No comments:
Post a Comment