Labels

Saturday, April 13, 2013

Tips: Bagaimana Untuk Nampak Cantik Di Dalam Gambar?

Pernahkah anda terfikir, bagaimana selebriti dan model boleh kelihatan begitu menawan di dalam gambar? Tentulah mereka ada taktik yang tersendiri. Di sini kami ada beberapa tip untuk anda praktikkan supaya anda juga bakal menyerlah dan nampak cantik di dalam gambar.

Mahirkan Senyuman Ikonik Anda

Setiap orang mempunyai daya tarikan tersendiri ketika tersenyum. Ada yang kelihatan menawan dengan senyuman yang menampakkan sedikit gigi, ada yang kelihatan comel bila tersenyum lebar dan ada pula yang nampak lebih seksi dengan senyuman kecil yang boleh memberikan unsur misteri kepada wajah. Mahirkan senyuman ikonik anda, tonjolkan kemahiran ini ketika sesi bergambar anda yang seterusnya. Sekiranya anda susah untuk tersenyum, fikirkan sesuatu yang menggelikan hati sebelum bergambar kerana ini dapat membantu anda tersenyum dan tampak lebih asli.

Peranan Rambut

Rambut anda akan kelihatan nipis di dalam gambar. Untuk mengelakkan hal ini berlaku, gunakan jari anda ketika berposing. Selakkan sedikit rambut ke atas dan biarkan posisi tangan anda di kepala sambil tersenyum seksi. Taktik ini sering digunakan oleh model-model terkenal bagi menampakkan kelebatan rambut dan mengelakkan mereka nampak kaku di dalam gambar.

Jangan Tunduk

Setiap kali mengambil gambar, pastikan anda mendongak sedikit ke atas kerana ia boleh menyembunyikan dagu anda yang berlapis! Pastikan lensa kamera berada selari dengan paras mata. Sekiranya lensa kamera berada di bawah paras mata, anda akan kelihatan gemuk di dalam gambar.

Posisi Badan

Ketika berposing, sekiranya anda menghadap kamera ia tidak akan memberikan bentuk badan yang menarik di dalam gambar. Sengetkan sedikit badan anda, kira-kira 45 darjah daripada lensa kamera, letakkan satu kaki ke hadapan dan tangan di pinggul. Anda akan tampak lebih tinggi dan kurus dengan posisi ini.

Source: EH!